Search This Blog

Monday 30 September 2013

Rawatan Untuk Juandis(Kuning)

Bismillah..sambungan daripada juandis pada baby.Kali ni saya share antara cara rawatan yang biasanya di lakukan oleh doktor .Jom baca:


1. Phototherapy (Terapi lampu)




Phototherapy adalah kaedah yang paling berkesan abad ini untuk mengurangkan kekuningan bayi. Ia adalah sumber cahaya biru dengan jarak gelombang (wavelength) kira-kira 450 nm. Dengan kaedah ini, bilirubin merbahaya ditukarkan kepada bilirubin larut air untuk dinyahkan daripada badan.


Cara menggunakan phototherapy dengan berkesan :-

Letakkan sumber cahaya kira-kira 35 cm - 50 cm daripada bayi

Buka semua baju bayi kecuali lampin
Tutup matanya
Lampu dibuka setiap masa 24 jam kecuali ketika mandi, minum susu, menukar lampin dan mengambil darah
Alih posisi bayi setiap 2-3 jam
Ada kajian menunjukkan terapi lampu boleh menyebabkan bayi kekurangan air maka memasukkan air melalui salur darah adalah satu kemestian.
Paras bilirubin hanya hanya boleh disukat dengan pemeriksaan darah sahaja kerana pemerhatian visual tidak tepat.
Risiko untuk peningkatan mendadak semula (rebound effect) boleh berlaku setelah rawatan lampu diberhentikan.

2. Exchange Transfusion (ET)



ET dilakukan sekiranya rawatan lampu tidak berjaya mengurangkan paras bilirubin. Kernicterus boleh berlaku sekiranya paras bilirubin tetap tinggi. ET ialah satu rawatan di mana darah bayi dikeluarkan secara perlahan-lahan oleh doktor secara manual melalui satu prosedur ringkas dan diganti dengan darah baru yang diambil dari bank darah. Proses ini memakan masa sehingga 5-6 jam. Semasa saya bertugas dahulu di bahagian paediatrik, ini adalah satu prosedur yang kalau boleh paling saya tidak sanggup lalui.

Di HKL ia biasanya dijalankan pada waktu malam bermula pada pukul 11 malam dan tamat hampir pukul 5 pagi! Itu untuk seorang bayi!. Doktor akan mengeluarkan darah bayi dengan perlahan-lahan melalui satu tiub yang dipasang di saluran darah di pusatnya (tali pusat masih baru lagi) dan memasukkan darah baru juga secara perlahan-lahan.

Bagi seorang doktor, prosedur ini sangat sukar kerana ia dijalankan pada waktu orang lain sedang tidur, anda berseorangan ditemani oleh seorang bayi (paling kurang... kalau ada jururawat yang temankan atau tolong buat anda kopi pun best jugak kan... tapi...) dan ia prosedur yang sangat-sangat perlahan untuk mengelakkan komplikasi




CAHAYA MATAHARI VS PHOTOTHERAPY?
Adakah meletakkan bayi yang kuning dibawah cahaya sinar matahari pagi boleh mengurangkan kekuningan? Apa pendapat anda?

Ada yang berkata, "kau dulu aku letak bawah matahari tulah.. takde apa-apa pun... " atau

"Buat apa kau nak siksa budak kecik tu... masuk hospital... letak bawah lampu.. kena cucuk sana sini... letak je bawah matahari.... "

Kadang-kadang idea-idea yang meruntun jiwa ni boleh juga masuk ke benak kita dan akhirnya akan melengah-lengahkan tanggungjawab kita kepada anak kita.

Pada hakikatnya, bayi dijemur di bawah sinar matahari ketika berada di rumah. Tiada ibu-bapa yang ingin membawa anak mereka ke hospital dengan niat menjemur anak. Oleh itu, tiada pengawasan yang sewajarnya untuk bayi tersebut ketika berada di rumah. Ibu-bapa pula berada di dalam zon selesa dan perhatian kepada anak pula berkurang.

Kenapa Phototherapy lebih baik daripada menjemur bayi di bawah matahari?

Phototerapy bersinar selama 24 jam, menukarkan bilirubin kepada bentuk yang tidak merbahaya setiap masa kecuali waktu minum susu, tukar lampin, mandi dan ambil darah.

Berapa lama bayi boleh dijemur di bawah matahari? Bayi hanya boleh dijemur pada waktu pagi selama 3 jam? 4 jam? paling lama 5 jam? Bagaimana dengan baki 20 jam lagi?

Bagaimana anda hendak memeriksa paras bilirubin sekiranya anda begitu selesa berada di rumah menjemur anak? Adakah cukup dengan pemerhatian visual anda sahaja?

Antara sebab kekuningan bayi meningkat ialah dehydrasi iaitu bayi kekurangan air. Sinar matahari boleh menjadikan dehydrasi bertambah teruk kerana suhunya itu. Sedangkan di hospital, dehydrasi boleh dibendung dengan menambah air melalui saluran darah.

Keputusan untuk mengadakan Exchange Transfusion atau ET boleh dibuat sekiranya pesakit di hospital menjalani rawatan lampu, berbanding sekiranya pesakit hanya berada di rumah.

Ujian darah boleh dilakukan serentak ketika menjalani rawatan lampu untuk mengenalpasti sebab-sebab kekuningan samada ia adalah jangkitan, masalah hati atau sebagainya.




SUSU KAMBING VS SUSU IBU?

Terdapat pendapat bahawa susu kambing boleh mengurangkan kekuningan yang dialami oleh bayi. Walaubagaimanapun, rata-rata pendapat mengatakan bahawa ini adalah petua orang tua-tua, cara tradisional atau mengatakan ia adalah satu keajaiban.

TIDAK ADA PENJELASAN SECARA SAINTIFIK.

Malahan, petua berjemur bawah matahari pagi mempunyai penjelasan yang lebih saintifik berbanding cerita susu kambing. Diharapkan ia bukan taktik penjual susu kambing untuk meraih keuntungan.

Apa yang ada pada susu kambing menjadikan ia begitu ajaib? Jika ada kajian tentang susu kambing, saya yakin ia tidak ada perbezaan yang besar dengan susu ibu atau susu lembu.

Susu ibu lebih berpotensi menjadi ubat kepada penyakit kuning kerana ia makanan sempurna kepada bayi. Malahan, susu kambing mempunyai zat-zat galian yang lebih tinggi yang tidak sesuai dengan tumbesaran bayi.

Ada yang memberi susu kambing yang belum dipasteurkan, dinyahkuman atau dimasak!. Memberi susu kambing mentah yang tidak pasti status kebersihannya mengundang bahaya kepada bayi.
Perut dan usus bayi yang masih belum matang tidak sesuai diberi selain daripada susu ibu.

Jika susu lembu yang telah bertahun-tahun digunakan itu pun boleh menyebabkan allergi kepada bayi, bagaimana pula susu kambing? Alahan boleh membawa maut! (Baca artikel ini oleh Pusat Racun USM)

Secara fisiologi, kekuningan bayi akan hilang selepas 5-6 hari walaupun dia tidak diberi minum susu kambing. Sekiranya bayi diberi minum susu kambing pun, kekuningan yang tinggi boleh menyebabkan kernicterus. Jadi tidak ada bezanya secara perbandingan.

Saya harap artikel ini boleh membantu anda meneruskan kehidupan anda dengan sedikit pengetahuan yang dapat dikongsi bersama. Apa pun keputusan anda sekiranya anda menghadapi masalah seperti di atas adalah bergantung kepada ilmu pengetahuan anda sendiri.

Neonatal jaundice seperti penyakit lain boleh mendatangkan padah kepada sesiapa yang tidak mengetahui. Sekiranya anda sangat mementingkan cara tradisional untuk merawat penyakit ini, maka itu adalah keputusan anda. Ilmu perubatan semakin meningkat maju. Janganlah disebabkan pendirian anda menyebabkan bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Wallahu A'lam.

Kredit to:GRNM

Salam Sayang
Liza 012-3010634

No comments:

Post a Comment