Search This Blog

Monday 15 January 2018

Kelebihan Minyak Ikan Omega 3



Selain ikan dan makanan laut, pengambilan suplemen minyak ikan Omega-3 juga membantu mengurangkan risiko berlakunya serangan jantung.

A- A+ (Ubah saiz teks)

PENYAKIT jantung koronari merupakan penyakit pembunuh nombor satu di Malaysia dan di seluruh dunia. Berdasarkan kajian statistik, setiap 15 minit, seorang penduduk Malaysia akan mendapat serangan jantung.

Di samping rawatan yang boleh diberi di hospital, pencegahan merupakan sesuatu yang lebih bermakna kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Berdasarkan kajian-kajian terkini, pengambilan minyak ikan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

Ia patut diamalkan sebagai satu suplemen harian yang sangat penting untuk kesihatan tubuh badan. Dalam masa yang sama, kita juga perlu makan ikan secara kerap untuk mendapatkan sumber asid lemak Omega-3 melalui pemakanan harian.

Pengambilan Ikan

Asid lemak Omega-3 mula menarik minat saintis sejak beberapa dekad lalu kerana pemerhatian mereka mendapati masyarakat Inuit atau Eskimo mempunyai kadar penyakit jantung yang amat rendah berbanding dengan masyarakat Eropah dan Amerika.

Ini kerana pemakanan mereka adalah kaya dengan asid lemak Omega-3 iaitu daripada ikan dan makanan laut yang lain, walaupun mereka amat kurang memakan sayur-sayuran.

Pemerhatian saintis di beberapa buah tempat di dunia seperti penduduk di Okinawa, Jepun dan Kepulauan Crete, Mediterranean juga mempunyai kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding masyarakat di barat. Penduduk di sini juga mempunyai amalan pemakanan ikan yang tinggi.

Asid lemak Omega-3 tergolong dalam kumpulan asid lemak tak tepu yang penting. Ia terbahagi kepada tiga jenis asid lemak utama iaitu Eicosa Pentanoic Acid (EPA), Docosa Hexanoic Acid (DHA) dan Alpha Linolenic Acid (ALA). Asid lemak Omega-3 ini bersifat anti keradangan, selain boleh mencegah pembentukan plak arteriosklerosis yang menyumbat saluran darah di jantung.

Ia juga boleh membantu mengawal paras kolesterol darah dan meningkatkan paras kolesterol baik iaitu HDL dalam darah.

Risiko Berkurangan

Banyak kajian saintifik telah membuktikan kaitan yang amat kuat di antara Omega-3 dengan kesihatan jantung yang baik. Pada 8 September 2004, USFDA di Amerika Syarikat telah mengeluarkan kenyataan yang menyokong Omega-3 i(EPA & DHA) sebagai satu suplemen yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

Pada tahun 1999 pula, pengkaji dari GISSI-Prevenzione melaporkan dalam jurnal perubatan The Lancet mengenai satu kajian yang dijalankan melibatkan 11,324 pesakit yang telah mendapat serangan jantung. Kesemua pesakit ini telah diberikan suplemen asid lemak Omega-3 sebanyak 1,000 mg setiap hari.

Kesimpulan daripada kajian ini menunjukkan terdapatnya pengurangan kadar kematian akibat serangan jantung kali kedua sebanyak 45%. Kesan positif terhasil kesan daripada pengambilan Omega-3 yang diamalkan setiap hari selepas tiga bulan dan seterusnya.


Satu lagi kajian di Amerika Syarikat yang dipanggil DART Study (The Diet and Reinfarction Trial), kaitan di antara makan ikan yang kaya dengan asid lemak Omega-3 dengan pengurangan kadar serangan jantung untuk kali kedua adalah sangat kuat.

Dalam kajian ini, seramai 1,015 pesakit dinasihatkan memakan ikan sekurang-kurangnya dua hidangan seminggu dan seramai 1,018 pesakit tidak dinasihatkan begitu.

Semua pesakit yang mengambil bahagian dalam kajian ini telah mendapat serangan jantung buat kali pertama. Selepas dua tahun, kajian ini mendapati terdapat penurunan sebanyak 29% di dalam kadar kematian di kalangan pesakit yang mendapat nasihat supaya memakan ikan tersebut.

Dalam American Journal of Clinical Nutrition dan Journal of American Medical Association (JAMA) pada tahun 2006, laporan menunjukkan kesan positif pengambilan asid lemak Omega-3 kepada kesihatan jantung.

Ia menyatakan bahawa berdasarkan laporan kajian yang telah dijalankan di seluruh dunia, terdapat pengurangan yang ketara dalam jumlah kadar kematian keseluruhan dan insiden penyakit serangan jantung di kalangan mereka yang mengamalkan pemakanan banyak ikan atau minyak ikan, ataupun mengambil suplemen Omega-3 setiap hari.

Kelebihan Omega-3

Pengambilan asid lemak Omega-3 memberi banyak kelebihan untuk kesihatan jantung iaitu mengurangkan risiko insiden serangan jantung, mengurangkan risiko kematian akibat serangan jantung, mengurangkan risiko mendapat denyutan jantung tak menentu, mengurangkan sakit dada (angina) pada pesakit jantung dan mengurangkan risiko serangan jantung kali kedua bagi pesakit yang pernah mendapat serangan jantung sebelum ini.

Asid lemak Omega-3 amat penting untuk mendapat kesihatan jantung yang baik. Sumber utamanya ialah ikan dan makanan laut. Jika kita kurang makan ikan, maka kita perlu mengambil suplemen minyak ikan Omega-3.

Penggunaan minyak masak yang kaya dengan Omega-3 juga boleh membekalkan keperluan harian seseorang. Misalnya minyak canola, minyak flaxseed dan minyak kelapa sawit. Kacang walnut juga merupakan sumber yang kaya dengan Omega-3.

Bukan itu sahaja, pengambilan makanan yang ditambah dengan Omega-3 seperti telur dan susu juga boleh membantu anda mendapatkan keperluan Omega-3 harian anda.

Kredit
*Dr Norman Mohd Norawi, Pengamal Perubatan Am Pengkhususan Perubatan Anti Penuaan dan Nutrisi

 

No comments:

Post a Comment